BUKA BAJU, TANGGALKAN COLI - MALINDO AIR NAFI

Malindo Air hari ini menafikan sebuah laporan mengenai prosedur pemeriksaan ke atas calon kru kabinnya.

Dalam kenyataan kepada media, syarikat penerbangan terbabit juga berkata, selepas siasatan dalaman dijalankan, laporan The Malay Mail bertarikh 5 April adalah tidak benar. 

"Pemeriksaan untuk mengesan parut dilakukan secara profresional dan tertutup oleh penyelia wanita dan ia adalah sebahagian daripada proses temuduga.

"Calon diberi taklimat lebih awal dan keizinan daripada setiap mereka didapatkan sebelum pemeriksaan kesan parut ketara dapat dilihat jika mereka mengenakan pakaian seragam," katanya kenyataan berkenaan tanpa menyatakan bagaimana pemeriksaan itu dibuat.

Pagi tadi, Malindo Air menjadi perhatian ramai apabila calon pramugari mereka membuka baju untuk pemeriksaan parut atau tatu pada sesi temuduga 11 Mac lalu.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin, mempertahankan langkah itu dan berkata, sebagai bakal majikan syarikat terbabit berhak meminta calon krunya mendedahkan dada kepada penemuduga.

Katanya, calon yang ditemuduga hanya diminta membuka baju, bukan coli seperti didakwa individu yang datang untuk mencuba nasib pada hari berkenaan.

Portal berita itu juga memetik Raja Sa'adi berkata, prosedur berkenaan perlu kerana pakaian seragam Malindo Air sebahagiannya jarang.

"Ia bukan isu. Kami ada hak untuk melakukan pemeriksaan begitu ke atas mereka. Saya rasa kebanyakan syarikat penerbangan juga melakukan pemeriksaan sama," katanya yang menegaskan, penting untuk kakitangan kabin kelihatan menarik.

"Kami perlu melihat jika (calon terbabit) mempunyai parut, jerawat atau tatu yang mungkin boleh kelihatan melalui pakaian seragam."

"Kakitangan pembantu penerbangan kami memakai bengkung dan jika (tanda-tanda) itu terlindung olehnya, ia tak mengapa," katanya.

Mengenai aduan calon kru kabin itu bahawa mereka perlu menunjukkan kaki sehingga ke paras peha, beliau berkata, syarikat terbabit juga mahu tahu jika ada parut atau kesan lain boleh kelihatan ketika mereka berjalan semasa mengenakan pakaian seragam.

"Belahan (pada kain uniform Malindo Air) juga disesuaikan supaya membolehkan pemakainya bergerak dengan mudah, terutama semasa kecemasan," jelasnya.

Malaysiakini sudah menghubungi Raja Sa'adi dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy untuk mendapatkan komen mereka.




sumber: Malaysiakini

Ulasan