TIKUS: PASARAYA AEON DITUTUP



KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahagian barangan runcit Pasaraya Aeon, One Utama di Petaling Jaya ditutup kerana kehadiran tikus yang menjadi tular melalui media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, bahagian "grocery" pasaraya tersebut telah ditutup oleh KKM pada 31 Mac 2017 untuk tempoh 14 hari.

Tindakan itu diambil di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Premis tersebut boleh beroperasi semula lebih awal sekiranya pemeriksaan semula kebersihan premis oleh KKM mencapai tahap memuaskan.

"KKM sentiasa menjalankan pemeriksaan premis makanan secara rutin. Dari tahun 2012 hingga 2016, KKM telah menjalankan 635,439 pemeriksaan premis makanan di seluruh negara," katanya.

Dalam tempoh tersebut katanya, sebanyak 15,731 premis makanan tidak bersih telah ditutup di bawah peruntukan undang-undang sama, termasuk kerana kehadiran tikus.

Dalam masa yang sama, sejak Julai 2013 hingga 2016, sebanyak 24,266 kompaun telah dikeluarkan terhadap pengusaha makanan yang gagal mematuhi keperluan kebersihan makanan.

KKM akan meneruskan pemeriksaan premis makanan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan.

Noor Hisham turut menegaskan bahawa KKM memandang serius semua perkara berkatan kebersihan dan keselamatan makanan.

Pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web Kementerian Kesihatan Malaysia atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan , jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Sumber : Astro Awani

Ulasan