KANGAR - Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sempadan Kedah-Perlis di sini.
Dalam operasi kira-kira jam 12 tengah hari itu, kedua-dua suspek masing-masing berpangkat Sarjan dan Koperal ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
Pengarahnya, Yaacob Angah berkata, anggota berusia lingkungan 30an dan 50an itu ditahan berhubung kes permintaan rasuah daripada seorang pengedar ketum.
"Kedua-dua mereka dipercayai meminta suapan RM4,000 daripada pengedar ketum yang ditahan sebelum ini."
"Suapan terbabit bagi memastikan tiada sebarang tindakan atas kesalahan mengedar diambil kepada pengedar terbabit", katanya menerusi satu kenyataan.
Yaacob berkata, kedua-dua suspek ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lebih lima kali suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan